JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran menawarkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik untuk doktor dan jururawat yang berkhidmat di negeri ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata ia susulan isu kekurangan doktor dan jururawat serius di negeri ini termasuk sektor swasta yang dikesan berhijrah ke Singapura untuk berkhidmat di republik itu.
Katanya, penghijrahan doktor dan jururawat dari Johor menjejaskan hospital utama negeri ini terutama Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, mengalami isu kekurangan doktor dan jururawat yang serius.
“Susulan isu kekurangan doktor dan jururawat yang serius di negeri ini terutama di HSA dan HSI, kita mencadangkan supaya KKM dan JPA menawarkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik untuk doktor dan jururawat yang berkhidmat di negeri ini.
“Langkah itu bagi menangani penghijrahan doktor dan jururawat yang berkhidmat terutamanya di bandar raya ini sekali gus memberi kesan terhadap perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit.
“Johor kekurangan 2,800 kakitangan kesihatan, membabitkan 2,120 doktor dan 680 jururawat. Kekurangan staf kesihatan menjejaskan klinik pakar HSA yang merekodkan 1,800 janji temu pesakit sehari manakala 1,900 janji temu klinik pakar di HSA, yang kini mengalami kesesakan.
“Ia juga menjejaskan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma HSA dan HSI yang puratanya menerima antara 400 hingga 600 pesakit sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Johor, di sini, hari ini.
Pelancaran sambutan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pada 25 Oktober 2021, BH pernah melaporkan Malaysia bakal ‘kehilangan’ beratus doktor serta jurururawat berikutan tindakan beberapa hospital di Singapura menawarkan kontrak lumayan dan insentif menarik untuk mereka bekerja di negara itu.
Tawaran bekerja di rangkaian hospital awam republik itu dikatakan menarik minat ramai doktor dan jururawat negara ini untuk berhijrah, khususnya dalam kalangan mereka yang masih berstatus kontrak ketika ini.
Antara faktor yang mencetuskan minat mereka ialah tawaran gaji sehingga mencecah 10 kali ganda berbanding gaji yang diperoleh di negara ini.
Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, KKM memaklumkan akan menghantar pelan cadangan terperinci bagi menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat kritikal di negeri ini.
Katanya, jaminan itu diberikan KKM susulan tinjauan isu berkenaan yang disertai pegawai tertinggi KKM di HSI semalam.
“Perbincangan bersama KKM selepas tinjauan di HSI semalam sangat positif apatah lagi kementerian memberi jaminan untuk bantu Johor untuk tambah staf perubatan.
“Fokus kita adalah bagi dua wad yang tidak beroperasi di HSI akibat kekurangan doktor dan jururawat yang boleh menempatkan 108 katil, supaya ia dapat dibuka sekali gus dapat mengatasi isu kesesakan wad di hospital berkenaan,” katanya.
BHonline-