MAKASSAR: Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut memaklumkan kebakaran melibatkan kapal perang KRI Teluk Hading 538 di Perairan Selayar, Sulawesi Selatan kelmarin berjaya dipadamkan dalam tempoh 30 minit.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jurucakap tentera, Made Wira Hady berkata, proses pemadaman dapat dilakukan dengan pantas berikutan tindakan berkesan pasukan penyelamat.
“Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa setengah jam sahaja dan kini semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Kapal itu terbakar ketika berlayar di bahagian timur Pulau Selayar pada pukul 2 petang waktu tempatan.
Ketika insiden, kapal tersebut sedang melakukan rutin rondaan di wilayah perairan timur negara ini.
Kapal jenis Frosh-I-Type 108 itu membawa seramai 119 anak kapal yang terdiri daripada 67 kru dan 57 pasukan.
“Semua anak kapal selamat dalam insiden tersebut, tiada yang cedera,” ujar Made.
Proses membawa keluar kru dari kapal tersebut dilakukan oleh angkatan laut menggunakan sekurang-kurang enam kapal.
Made juga memaklumkan, kesemua kru kapal kini berada di Makassar dan bangkai kapal pula akan dibawa ke pelabuhan terdekat untuk pemeriksaan.
Sementara itu, punca kejadian masih masih dalam siasatan.
UtusanOnline-