SUNGAI PETANI: Dendam lama menjadi punca seorang lelaki ditetak menggunakan sabit hingga cedera parah oleh kenalannya dalam kejadian di tepi jalan Sungai Toh Pawang, Bedong di sini, baru-baru ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Mangsa berusia 25 tahun yang mengalami luka sepanjang lapan sentimeter (cm) di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sabtu lalu untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang merupakan seorang kontraktor telah diberkas pada malam kejadian selepas abang mangsa membuat laporan polis.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa berada di tepi jalan bersebelahan sebuah kilang bersama tiga rakannya sebelum didatangi suspek yang bersama isterinya dengan menaiki sebuah motosikal.
“Suspek memarahi mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakannya menjadi orang tengah dan menyembunyikan sepupu suspek yang telah melarikan diri dari rumah di Kampung Baru Sungai Putar, Bedong dua bulan lalu,” katanya ketika dihubungi.
Zaidy berkata, berlaku pertengkaran sebelum suspek tiba-tiba menetak mangsa menggunakan sabit yang dibawanya sebelum bertindak melarikan diri.
“Mangsa dikejarkan ke HSAH oleh abangnya yang turut membuat laporan polis berkaitan kejadian itu sebelum polis berjaya menahan suspek di rumahnya tidak lama kemudian,” katanya.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Kanun Keseksaan iaitu membawa senjata berbahaya di tempat awam dan Seksyen 414 kanun sama kerana memiliki harta curi.
Sementara itu, ujar Zaidy, suspek kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 324 kanun tersebut.
UtusanOnline-