PETALING JAYA – Laporan kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku Disember lalu dijangka diperoleh akhir bulan ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan itu akan dibentangkan
kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak yang terlibat mengambil tindakan selanjutnya.
“Kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.
“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Alexander, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan itu adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.
“Data daripada ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” tambahnya.
Semalam, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh itu menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.
Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.
Terdahulu, pada 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa terkorban, manakala 61 terselamat lagi ketika berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali.
-Kosmo Online