PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 15 September untuk menyampaikan keputusannya dalam rayuan polis dan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penahanan 16 hari bekas aktivis antijenayah R Sri Sanjeevan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sebagai menyalahi undang-undang.
Ikuti Mynewshub:Ā Telegram
Peguam Sri Sanjeevan, S Preakas mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.
Tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar Mahkamah Rayuan, Nur Adilah Halid pada Rabu.
Pada 21 Jun lepas panel tiga hakim yang terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan, Datuk S Nantha Balan, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azimah Omar yang mendengar rayuan itu, memutuskan untuk menangguhkan keputusan mereka.
Sri Sanjevaan, 38, menyaman pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Poonnam E Keling, Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia, mendakwa dia ditahan secara salah oleh Poonnam selama 16 hari antara 10 Julai 2016 dan 26 Julai 2016, selain turut diserang.
Bekas pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu memohon ganti rugi atas kecederaan yang dialaminya.
Pada 28 Jun tahun lepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membenarkan saman sivil Sri Sanjeevan bagi pemenjaraan salah dan mengarahkan ganti rugi am, teladan dan teruk dibayar kepadanya, dengan ganti rugi itu dinilai dalam perbicaraan berasingan yang ditetapkan kemudian.
Mahkamah turut memutuskan bahawa penahanan Sri Sanjeevan adalah menyalahi undang-undang dan haknya di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan telah dilanggar oleh Poonnam.
Hakim Mahkamah Tinggi itu mendapati Poonnam bertanggungjawab kerana menahan Sri Sanjeevan secara salah dan KPN serta kerajaan bertanggungjawab secara wakil atas tindakan Poonnam.
Sri Sanjeevan ditahan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti jenayah pada 10 Julai 2016 di bawah POCA dan dihadapkan di hadapan majistret pada hari berikutnya, yang mengeluarkan perintah reman 21 hari.
Sebelum tamat tempoh reman 21 hari, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus bagi memastikan dia dibebaskan daripada tahanan.
Dia dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 kerana melanggar prosedur mandatori di bawah POCA.
Kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi kemudiannya menarik balik rayuan itu.
Sri Sanjeevan kemudian memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan untuk pemenjaraan secara salah.
Bernama-