KUALA LUMPUR: Tindakan meletakkan nombor pendaftaran kenderaan lain pada kenderaan sendiri tetap menjadi kesalahan dan boleh dikenakan saman walaupun ia dilakukan untuk tujuan pemasaran perniagaan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Susulan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang, berkata pihaknya akan mengeluarkan notis temu siasat terhadap pemilik kereta mewah McLaren yang dikatakan milik suami kepada seorang pelakon yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada kenderaannya itu.
Beliau berkata, semakan pada sistem MySikap mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan pada kereta McLaren itu berbeza dengan kenderaan sebenar.
“Kita tegaskan tindakan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain tetap menjadi kesalahan dan boleh dikenakan saman.
“Jadi, JPJ akan mengambil tindakan mengeluarkan notis panggilan temu siasat pemilik kereta McLaren itu untuk proses siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Op Pemandu Warga Asing (PEWA) di Pejabat JPJ WPKL di sini, hari ini.
Kenyataan itu susulan tular gambar sebuah kereta mewah McLaren dikatakan milik suami kepada seorang pelakon yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain pada kenderaannya itu.
JPJ Kuala Lumpur pada Ahad lalu mengesahkan nombor plat yang dipamerkan pada kereta McLaren itu bukan nombor sebenar dan pemilik berdaftar pula adalah orang berbeza.
Susulan itu, JPJ menasihati pemilik sebenar kereta McLaren terbabit tampil membuat laporan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit memuat naik satu klip video menafikan dakwaan dia dipanggil pihak berkuasa berhubung kejadian tular itu.
Lelaki itu mendakwa, dia hanya menggunakan nombor pendaftaran yang tular itu untuk tujuan mengambil foto kenangan bersama isterinya dan tidak digunakan di atas jalan raya.
Mengulas lanjut, Erick berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum saman dikeluarkan mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Jika dilihat (gambar yang tular) memang menjadi kesalahan dari segi undang-undang (menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain).
“Sebab itu JPJ akan panggil individu terbabit untuk disiasat sebelum tindakan selanjutnya diambil. Dari sudut ubah suai pula, ia perlu melalui proses siasatan juga sebelum tindakan lanjut,” katanya.
BHonline-