SEPANG : Kerajaan akan memperkenalkan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar universiti awam (UA) untuk pulang ke kampung halaman, yang bakal dilancarkan Ogos ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bantuan itu membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak tetapi belajar di universiti di Semenanjung Malaysia dan sebaliknya.
“Kita memang sedang merancang satu inisiatif untuk pelajar UA dari Sabah atau Sarawak yang belajar di Semenanjung dan sebaliknya, untuk memberi bantuan tiket kapal terbang kepada mereka.
“Kita akan beri bantuan dalam bentuk kredit kepada mereka, yang akan dikreditkan kepada akaun masing-masing untuk membeli tiket kapal terbang. Sistem ini sedang dibina dan ia memerlukan sedikit integrasi dengan syarikat penerbangan.
“Ia dijangkakan dapat dilancarkan pada Ogos ini, sebelum Hari Kemerdekaan, itu hasrat kita untuk beri bantuan kepada pelajar UA pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Pelajar dan Pelepasan Penerbangan Antarabangsa ke Bangkok, Thailand oleh MyAirline Sdn Bhd di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyAirline, Rayner Teo.
Mengulas lanjut, Loke berkata, dengan adanya bantuan berkenaan, pelajar boleh menggunakan kredit yang diberikan untuk membeli tiket kapal terbang dan ditambah dengan tawaran diskaun oleh syarikat penerbangan maka ia menjadi lebih berbaloi.
“Kredit ini bukan untuk kegunaan sekali gus, (tetapi) terpulang kepada tiket penerbangan itu. Kita akan berikan satu kuantum yang akan diumumkan nanti.
“Walaupun ia tidak banyak, tetapi kita harapkan ia satu permulaan untuk meringankan beban pelajar UA. Dengan bantuan ini ditambah dengan diskaun syarikat penerbangan, ia membolehkan pelajar untuk pulang ke kampung masing-masing ketika hari perayaan atau cuti semester.
“Saya difahamkan ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak yang tidak mampu untuk balik walaupun sekali setahun kerana kekangan kewangan dan harga tikat kapal terbang yang mungkin tidak mampu milik untuk mereka, jadi dengan adanya insentif ini kita harap akan memudahkan perjalanan mereka,” katanya.
-Berita Harian