SANDAKAN – PKR Sabah berharap ia dapat diberikan peluang untuk bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam setiap kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam berkata, harapan itu disuarakan dengan hasrat supaya parti itu tidak dilihat disisihkan di Sabah.
“Kuota untuk bertanding ini sebenarnya akan dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH). Maka, dengan itu, kami mengharapkan rakan komponen lain juga bersetuju supaya kami (PKR) turut diagihkan kerusi berdasarkan keperluan.
“Contohnya di zon Sandakan ini, kita lihat tiada satu pun YB (yang berhormat) daripada PKR. Kebanyakan adalah rakan (dari parti komponen) lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini malam tadi.
Di Sabah, PKR menyandang dua kerusi DUN iaitu Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri di Api-Api, dan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri Peto Galim di Inanam; serta satu kerusi Parlimen disandang Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud di Sepanggar.
Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen.
-Sinar Harian