Shah Alam : Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta, bagi tujuan membiayai kerja-kerja membaikpulih kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta urusan lain.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, petang ini.
Daripada jumlah itu, Anwar merangkap Menteri Kewangan berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada Sekolah Tamil di bawah kerajaan, manakala baki RM10 juta untuk membantu hal berkaitan perolehan tanah untuk pembinaan SJKT serta urusan berkaitan yang masih belum selesai.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar menteri dan ketua setiausaha kementerian supaya segera memulakan projek untuk membaiki dan penyelenggaraan kemudahan asas di sekolah terkesan.
Katanya, bumbung dan tandas menjadi antara keutamaan beliau untuk dibaiki dan diselenggara pada tahun ini.
“Bagi saya isu pendidikan adalah isu besar dan sebab itulah kita letakkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dalam kalangan orang muda serta dinamik untuk angkat mutu pendidikan kita.
“Jadi dalam Belanjawan 2023, kita tambah peruntukan untuk Kementerian Pendidikan (KPM)…kita tambah satu lagi kategori penyelenggaraan baik pulih sekolah merangkumi SJKT, Sekolah Kebangsaan (SK).
“Dulu masa saya di (sebagai Ahli Parlimen) Port Dickson, ada tandas di situ tak terurus, ada sekolah semua enam tandas rosak. Justeru, bagaimana nasib anak kita (di sekolah). Kena fikir ini adalah anak kita.
“Sebab itu saya kata sudah lulus (peruntukan) dan dalam setiap mesyuarat Kabinet…saya tanya sudah berjalan belum (projek) kerana (peruntukan) duit sudah dapat dilaksanakan.
“Ini termasuk majoriti di Sekolah Tamil. (Ketika di pejabat), saya cari hampir setiap daerah yang ada Sekolah Tamil…perlu dibaik pulih dan saya mula dengan tandas serta bumbung. Nak baik pulih semua cecah berbilion ringgit. Saya segera hal ini diberikan tumpuan tahun ini,” katanya.
Mengulas majlis yang dianjurkan itu, Perdana Menteri berkata ia amat bersejarah kerana berjaya menghimpunkan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan di bawah satu bumbung.
Antara yang hadir adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran dan bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.
Menyentuh isu kekurangan murid di SJKT yang menjadi antara isu utama dalam kalangan masyarakat minoriti itu di negara ini, Anwar berkata jika kerajaan mengumumkan penutupan sekolah itu sudah pasti akan menjadi satu isu kerana ia perkara sensitif.
Beliau yang pernah memegang portfolio Menteri Pendidikan suatu ketika dahulu mengakui memang ada SJKT yang mempunyai sekitar 10 hingga 15 murid.
Beliau turut mengakui sekiranya isu itu tidak ditangani secara rapi, ia sekali gus akan mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat India sehingga memungkinkan memorandum dihantar dan protes meletus.
“Kita nak cari jalan untuk pindahkan murid-murid di sekolah itu dan saya juga tidak mahu buat sebarang keputusan populis.
“Tetapi mungkin boleh dicadangkan kalau sekolah tidak cukup murid, kita tampung atau beri tambang kepada anak-anak itu untuk pergi sekolah yang jaraknya jauh sedikit, ” katanya.
-Harian Metro