KUCHING: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM47.2 juta dalam beberapa serbuan dilakukan di pusat hiburan dan stor penyimpanan dadah di Miri, Ahad lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din, berkata jumlah itu menjadikan ia rampasan dadah terbesar di Sarawak setakat ini.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil lima serbuan dilakukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman serta Sarawak di pusat hiburan dan stor penyimpanan dadah sekitar Miri antara jam 1.30 pagi hingga jam 4 petang Ahad lalu.
“Dalam operasi itu, polis merampas 768 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM47.2 juta dan jumlah itu boleh digunakan seramai 2.5 juta penagih.
“Dadah yang dirampas itu ialah 81.8 kilogram (kg) Methylenedioxy methamphetamine, 686.7 kg ketamin dan 1.15 gram pil Eramin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, hari ini.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri; Ketua JSJN Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah dan Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu.
Mohd Kamarudin berkata, daripada lima serbuan itu, satu serbuan dilakukan di pusat hiburan, tiga premis dijadikan stor penyimpanan dadah dan satu lagi serbuan di kawasan bebas.
“Dalam serbuan di pusat hiburan, polis memeriksa 117 pengunjung iaitu 58 lelaki dan 59 wanita dengan 57 daripada mereka didapati positif dadah.
“Dalam empat serbuan berikutnya, polis menyerbu tiga stor penyimpanan dadah dan menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 37 tahun yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah di Sarawak,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata, hasil siasatan mendapati dadah itu dibawa masuk dari Brazil dan Taiwan untuk pasaran di Sarawak.
“Sindiket itu dikenal pasti aktif sejak Februari lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam.
“Saringan awal turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau antaranya Seksyen 39B ADB 1852, Seksyen 15(1)(a) ABD 1952, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Beliau berkata, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dan setakat ini JSJN menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM84,757 iaitu sebuah kereta Honda City, wang tunai RM2,800 dan barang kemas bernilai RM1,957.
BHonline-