SHAH ALAM : Kementerian Ekonomi akan membuka peluang kepada rakyat memohon peruntukan bagi projek pembangunan dan infrastruktur kecil awam secara terus dalam tempoh terdekat.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, sistem permohonan itu kini dalam peringkat akhir penyediaan sebelum dilancarkan dalam dua atau tiga minggu lagi.
Apabila beroperasi kelak, katanya, rakyat tidak perlu melalui proses berlapis yang mengambil masa panjang untuk diluluskan.
“Kementerian akan menerangkan secara lanjut bentuk permohonan projek yang dibenarkan dan syarat berkaitan apabila diperkenalkan kelak.
“Rakyat juga boleh memberi input dan cadangan pembangunan kepada kerajaan yang kemudian akan dipadankan dengan perancangan jabatan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 oleh Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Rafizi berkata, ia akan dimulakan dengan projek kecil kerana lazimnya ia tidak dirancang oleh kerajaan tetapi lebih kepada wakil rakyat.
“Dapat atau tidak (peruntukan permohonan), ia kena melalui proses. Kita kena bekerjasama dengan pejabat daerah dan sebagainya,” katanya.
-Berita Harian