LABUAN : Seorang remaja maut, manakala sepupunya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh penghadang besi di Jalan Bukit Besar berhampiran Simpang Bidara 57, di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, mangsa, Muhamad Ansyahdinullah Sabarudin, 13, yang menunggang motosikal jenis Honda ADV, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, berkata siasatan polis mendapati, mangsa menunggang motosikal bersama sepupunya dari arah Bulatan Taman Mutiara menuju ke arah Kampung Sungai Lada.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi.
“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, sepupu mangsa yang juga lelaki berusia 15 tahun patah di lutut kiri kini dirawat di Hospital Labuan dan dalam keadaan stabil.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Berita Harian