PETALING JAYA – Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas lawak melampau yang dibuat oleh pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau amat terkejut dengan kenyataan menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam satu persembahan komedi berdiri baru-baru ini.
“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau mengguris hati perasaan orang lain.
“Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Vanu Gopala berkata, sebagai jiran terdekat Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan kukuh di pelbagai peringkat dengan ikatan yang cukup mendalam.
“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan erat antara rakyat dengan rakyat.
“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Jocelyn tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya.
Terdahulu, Jocelyn yang dipercayai lahir di Singapura bertindak keterlaluan apabila memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.
Selain membuat kenyataan menghina Malaysia, wanita itu turut menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan lucu kerana tidak pernah mendarat.
Kosmo-