KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk penjawat awam, selepas menyerbu dan membongkar kegiatan perlombongan bijih haram di Raub, lewat petang kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketiga-tiga suspek lelaki yang berusia antara 40an hingga 60an itu yang terdiri daripada pengusaha lombong dan penjawat awam ditahan kira-kira pukul 6.30 petang di Bentong, Pahang, semalam.
Sumber berkata, modus operandi sindiket ialah melakukan kegiatan perlombongan di luar kawasan perlombongan yang ditetap dan dibenarkan kepada syarikat mereka.
Katanya, SPRM mengesan perlombongan haram dan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.
“Bagaimanapun, difahamkan kegiatan perlombongan haram itu sudah mengakibatkan kerajaan Pahang mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM4.7 juta,” katanya.
Sumber berkata, pelombong haram ini melakukan aktiviti melombong pada lewat petang hingga malam untuk mengelakkan kegiatan itu disedari oleh pihak berkuasa.
“Sekiranya, kegiatan itu diketahui, mereka juga akan cuba menyogok pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut SPRM mendapati, suspek ini sudah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu malah pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, namun masih berdegil meneruskan perlombongan haram,” katanya.
Dalam operasi itu, sejumlah jentera pengaut dan trak pengangkut turut disita.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, pihaknya berkuasa sudah melakukan pemantauan di kawasan tersebut sejak tiga minggu lalu sebelum melancarkan operasi itu semalam.
BHonline-