SHAH ALAM : Stadium Shah Alam yang bakal digantikan dengan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka akan dirobohkan pada September atau Oktober tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu antara beberapa perbincangan yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini.
“Kita terpaksa ambil masa, sepatutnya bulan ini untuk mula perobohan tetapi kita hendak bincang supaya dapat harga yang lebih baik dengan syarikat yang akan membina kawasan ini.
“Sekarang ini proses penghantaran permohonan Kebenaran Merancang (KM) sudah dilakukan.
“Perobohan bukan bulan ini (Jun), perobohan memerlukan KM sebab ini adalah struktur besar..kalau hendak roboh bukan mudah sebab segala proses perlu dilihat. Perobohan dijangka September atau Oktober nanti,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan sempena Selangor Youth Festival di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, di sini petang tadi.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan perobohan Salah satu mercu tanda Selangor itu katanya, kompleks baharu tetap akan disiapkan pada 2026.
“(Kompleks) tetap akan siap pada tahun 2026 iaitu mula awal 2026 dan (siap) suku ke tiga tahun 2026,” katanya.
Pada 18 Mei lalu, beliau menegaskan pembangunan kompleks itu tetap diteruskan walau apa yang terjadi susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ia berikutan, pembangunan itu bukan hasrat peribadi beliau sebaliknya ia hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan penyokong bola sepak Selangor.
Julai tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan salah satu mercu tanda Selangor dan fasiliti sekitarnya bakal berwajah baharu menerusi kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) membabitkan anggaran kos keseluruhan RM787 juta.
-Berita Harian