KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan isu permohonan maaf daripada DAP kepada UMNO seperti yang dibangkitkan Ketua Pemuda, Dr Muhammad Akmal Salleh, tidak perlu lagfi ditimbulkan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presiden UMNO itu berkata, ini kerana sudah ada persetujuan bersama dicapai di antara UMNO dan DAP ketika rundingan kerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan diadakan.
Justeru, beliau berkata, perkara itu tidak perlu diulangi lagi kerana ia sudah dipersetujui 100 peratus untuk tidak dibangkitkan.
“Mereka (DAP) sudah nyatakan perkara ini beberapa kali, malah dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan ini pun bukan perkara itu yang menjadi syarat utama kepada kita.
“Mereka bersetuju 100 peratus (dalam rundingan kerjasama) serta tidak perlu kita ulangi perkara yang telah mereka persetujui,” katanya ketika sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.
Dalam ucapan pembukaan Persidangan Pemuda UMNO pagi tadi, Muhamad Akmal berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) meminta ahli UMNO tidak terbuai dengan permainan pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan yang kini semakin stabil.
Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan ini adalah persetujuan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).
Ditanya mengenai penerimaan akar umbi atas kerjasama dengan UMNO bersama DAP dan PKR, katanya, keserasian antara parti semakin bertambah dan di peringkat akar umbi, UMNO mempunyai kaedah tertentu untuk melakukan penjelasan mengenai kerjasama itu.
Katanya, penjelasan itu sudah dimulakan dan dalam sesi taklimat dengan Ketua Penerangan semalam pun perkara itu sudah dijelaskan.
“Setiausaha Agung (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) sudah memberikan penjelasan secara kronologi mengenai perkara itu.
“Perkara ini sudah tidak timbul lagi dan di dalam taklimat Presiden pun saya sudah menyebutnya dan malam tadi Timbalan Presiden pun menyebut perkara sama.
“Saya fikir sudah berlaku pencerahan yang sangat jelas dalam hal ini,” katanya.
Mengulas kegusaran akar umbi mengenai kerjasama dengan DAP itu menyebabkan tindakan memboikot PRN, katanya, perkara itu akan ditangani secara dalaman.
BHonline-