KUALA TERENGGANU : Tiga termasuk bekas timbalan menteri antara nama yang disebut-sebut dicalonkan untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Antara nama yang hangat disebut ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (kini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Bekas calon BN Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut disebut-sebut untuk bertanding di kerusi DUN.
Nama bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (kini Kementerian Komunikasi dan Digital), Datuk Seri Jailani Johari, turut menjadi perbualan dalam kalangan penyokong BN sebagai calon bertanding di kerusi DUN.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Shabery yang dianggap sebagai pakar pengurusan banjir gagal mempertahankan kerusi Parlimen selepas tewas kepada calon PAS, Che Alias Hamid.
Jailani yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu digugurkan daripada bertanding di kerusi itu pada PRU14.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi disebut-sebut bertanding di satu kerusi DUN di Parlimen Kuala Nerus.
Selain Ahmad Shabery, Jailani dan Mohd Khairuddin, spekulasi juga mengaitkan beberapa bekas EXCO kerajaan negeri turut dicalonkan kembali untuk bertanding di kerusi DUN.
Difahamkan, nama Ahmad Shabery, Jailani dan Mohd Khairuddin antara calon yang menjadi pilihan ahli di peringkat akar umbi sebagai calon untuk bertanding di kawasan DUN pada PRN akan datang.
Difahamkan, nama ADUN yang memenangi kerusi pada PRU14 turut dikekalkan untuk bertanding bagi mempertahankan 10 kerusi.
ADUN yang dijangka dikekalkan adalah Ahmad Said (Kijal), Roslee Daud (Bukit Besi), Datuk Rozi Mamat (Telemong), Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir), Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit), Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Datuk Abdul Halim Jusoh (Permaisuri).
Turut dijangka kekal bertanding adalah Datuk Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Datuk Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut).
Turut difahamkan, nama beberapa bekas pegawai kerajaan juga dicadangkan untuk bertanding pada PRN nanti.
BN negeri juga mencadangkan nama jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO negeri untuk bertanding.
Sementara itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar memaklumkan, semua senarai calon dicadangkan di peringkat UMNO negeri sudah dihantar kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti untuk proses pemilihan.
Katanya, semua senarai calon yang dicadangkan di peringkat negeri akan melalui pelbagai proses sebelum dimuktamadkan.
“Setakat ini, proses pemilihan calon oleh pimpinan tertinggi parti masih dijalankan dan kita belum menerima senarai calon yang sudah dimuktamadkan,” katanya.
-Berita Harian