KOTA KINABALU : Seramai 75 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Sabah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0, berbanding 60 calon pada tahun sebelumnya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mohd Zaini Yanin, berkata sebanyak 59 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus di negeri ini.
Beliau berkata, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022 adalah sebanyak 7,618 calon, peningkatan sebanyak 79 calon daripada 7,539 calon yang mendaftar pada tahun sebelumnya.
“PNGK STPM 2022 bagi negeri Sabah ialah 2.72, meningkat sebanyak 0.01 mata berbanding tahun 2021 iaitu 2.71.
“Bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2022 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2021 kerana perbezaan yang sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata.
“Perbezaan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2022 berbanding dengan calon STPM 2021.
“Dari segi pencapaian, calon yang memperoleh keputusan 5P seramai 324 calon (4.63 peratus); 4P, 4,802 calon (68.59 peratus); 3P, 1,084 calon (15.48 peratus); 2P, 466 calon (6.66 peratus) dan 1P, seramai 245 calon (3.50 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Pengarah JPNS, Raisin Saidin dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mohd Zaini berkata, jumlah calon lulus penuh mengalami peningkatan 0.26 peratus iaitu seramai 6,921 (98.86 peratus) daripada 7,001 calon yang menduduki pada tahun 2022 berbanding seramai 7,109 (98.60 peratus) pada 2021.
-Berita Harian