KUALA TERENGGANU: Adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Norhana Sultan Mahmud mangkat, pada jam 4.52 pagi ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Tengku Norhana, 59, mangkat di Gleneagles Hospital dan akan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, petang ini.
Datuk Pengelola Diraja, Datuk Mohd Sopian Abu Bakar melalui kenyataan memaklumkan, jenazah Tengku Norhana dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), petang ini.
Katanya, jenazah akan dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir.
“Jenazah Tengku Norhana akan dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah dan akan dimakamkan selepas solat Asar petang ini.
“Sultan Mizan juga mengampuni perkenan tempoh berkabung selama tiga hari mulai hari ini,” katanya.
Mohd Sophian turut memaklumkan sepanjang tempoh berkabung, umat Islam hendaklah memakai satu inci lilitan kain putih pada songkok, manakala yang bukan beragama Islam hendaklah memakai selilit kain hitam selebar tiga inci pada lengan baju sebelah kiri serta memakai tali leher berwarna hitam.
Katanya, wanita beragama Islam pula hendaklah memakai tudung berwarna putih manakala bukan Islam hendaklah memakai selilit kain hitam seleber tiga inci di lengan.
“Majlis tahlil akan diadakan selama tiga malam berturut-turut bermula malam ini di Balai Islam, Istana Syarqiyyah,” katanya.
BHonline-