PUTRAJAYA : Sejumlah 79,668 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan tempat ke universiti awam (UA) untuk pengajian asasi, diploma dan ijazah sarjana muda bagi sesi akademik 2023/2024.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui kenyataan berkata, mereka sebahagian daripada 144,911 calon lepasan SPM yang membuat permohonan bagi melanjutkan pengajian melalui UPUOnline.
Kenyataan sama memaklumkan 65,243 calon SPM ditawarkan melanjutkan pengajian di politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) yang menawarkan program pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Sebanyak 500 program pengajian ditawarkan bagi sesi 2023/2024, iaitu 47 pengajian asasi, 309 (diploma), satu (ijazah sarjana muda) dan 143 (sijil).
“Kemasukan pelajar ke institusi berkenaan dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan menyusun semua calon yang layak tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” katanya.
Prinsip meritokrasi adalah berasaskan 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.
“Seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan berjaya mendapat tawaran kemasukan ke UA, politeknik, KK dan ILKA bagi program lepasan SPM,” kata kenyataan itu lagi.
KPT juga memaklumkan secara keseluruhan, tawaran laluan khas ialah sebanyak 14,619 iaitu 13,649 diberikan kepada calon dari keluarga B40, 346 kepada orang kurang upaya (OKU), 335 (atlet), 289 (Orang Asli) dan 26 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengenai calon tidak mendapat tawaran, KPT memaklumkan antara faktor kegagalan ialah tidak memenuhi syarat am atau syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutama bagi program kompetitif dan kedudukan merit rendah.
KPT mempelawa mereka untuk membuat rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari mulai semalam sehingga jam 5 petang pada 16 Julai ini.
Selain itu, KPT mengesahkan 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM tidak membuat permohonan melalui UPUOnline atas beberapa faktor, antaranya kerana sudah mendapat tawaran menyambung pengajian di kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan, institut pendidikan guru, institusi pengajian tinggi swasta dan Majlis Amanah Rakyat.
-Berita Harian