KUALA LUMPUR : Polis Selangor menerima 25 laporan berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, bangsa, institusi diraja).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dua laporan terbaru diterima daripada wakil Dewan Diraja Selangor yang dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam, hari ini.
“Setakat jam 2 petang tadi, kita sudah terima 25 laporan polis berhubung isu ini,” katanya kepada BH hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak menyentuh perkara-perkara berkaitan 3R.
“Orang ramai terutama ahli politik perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dalam apa-apa ucapan dan pastikan ia tidak menyentuh 3R.
“Perkara ini sudah kerap kali diingatkan oleh Ketua Polis Negara, justeru semua pihak harus beringat dan berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan mengingatkan semua pihak, khususnya pemimpin parti politik berwaspada ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana setiap ucapan, termasuk muat naik di media sosial akan dipantau.
Katanya, pemantauan bukan saja berkaitan isu 3R, malah kempen secara maya atau kenyataan melalui media sosial yang menyentuh sebarang isu sensitif.
Razarudin berkata, polis akan menempatkan pegawai penyiasat serta pasukan teknikal untuk merakam setiap ucapan.
Terdahulu, BH melaporkan setakat jam 11 pagi tadi, sebanyak 31 laporan polis terhadap Muhammad Sanusi diterima di seluruh negara.
-Berita Harian