Kuala Lumpur : Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan seorang wanita dari Sarawak untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman bagi meminta Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa permohonan itu tidak dibenarkan untuk semakan kehakiman menurut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Permohonan pemohon adalah remeh dan menyusahkan dan harus ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Peguam wanita itu, Iqbal Harith Liang berhujah bahawa permohonan itu tidak dihalang oleh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Kewajipan Pendaftar Mualaf di sisi undang-undang untuk memutuskan permohonan pemohon keluar daripada agama Islam adalah tersirat dalam Seksyen 89 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505). Pemohon memohon kebenaran diberikan untuk prosiding semakan kehakiman dimulakan terhadap responden,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 21 September untuk menyampaikan keputusannya mengenai bantahan AGC.
Wanita berusia 26 tahun memfailkan permohonan itu pada 20 April lalu dan menamakan Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pemohon dilahirkan pada 9 Julai 1997 kepada ibu bapa Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang muslim.
Beliau juga memohon responden pertama mempertimbangkan permohonan pemohon supaya namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan membuat keputusan serta-merta dan memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam tarikh surat pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023 adalah tidak rasional dan tidak munasabah.
Wanita itu dalam afidavit sokongannya berkata pada awal 2017, pemohon bertemu dengan seorang lelaki Melayu Islam yang mempelawanya untuk berkahwin dengannya dan bagi membolehkan perkahwinan mereka dari sudut pentadbiran, dia memeluk Islam pada 18 Ogos 2017 dan mendaftar sebagai seorang muallaf dengan responden pertama.
Bagaimanapun, pada 27 Januari tahun lalu, pemohon berikrar dalam afidavit bahawa dia mahu meninggalkan Islam dan kembali sebagai seorang Kristian.
Pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023, pemohon melalui peguam caranya mengeluarkan surat kepada responden pertama untuk memohon namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf, setakat tarikh pemfailan permohonan, responden pertama tidak memberikan sebarang keputusan mengenai permohonannya.
-Harian Metro