JOHOR BAHRU: Keluarga Diraja Johor menyumbang lebih RM123 juta bagi membantu rakyat negeri ini berdepan cabaran sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sejak 2019.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sumbangan itu merangkumi pelbagai jenis bantuan yang memberi manfaat kepada seramai 1.6 juta rakyat negeri ini yang terkesan.
Beliau berkata, selain sumbangan berbentuk kit dan peralatan kesihatan yang disalurkan demi kesejahteraan rakyat, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menitahkan pegawai Istana Johor untuk turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.
“Tidak cukup dengan itu, keluarga diraja Johor sentiasa di hadapan dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan, selain memperjuangkan serta melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.
“Di atas sifat ihsan dan kasih Sultan Johor dan keluarga diraja Johor, maka lahirlah simbiosis erat di antara istana dengan rakyat jelata,” katanya berucap pada Majlis Penghargaan Yayasan-yayasan Diraja Johor, Pelancaran Buku dan Portal Kesultanan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini hari ini.
Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan majlis berkenaan dan berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
BHonline-