BALIK PULAU: Kementerian Pengangkutan akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta tahun depan untuk Program MyLesen B2 bagi membantu lebih ramai golongan B40 memiliki lesen motosikal.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, lebih 30,000 orang akan memperoleh manfaat daripada Program MyLesen B2 itu sekiranya permohonan peruntukan sebanyak RM10 juta tersebut diluluskan Kementerian Kewangan.
”Pada tahun ini menerusi Belanjawan 2023, peruntukan yang diperoleh untuk program ini adalah RM2.7 juta dan ia telah memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 orang.
“Kami merancang memohon lebih banyak peruntukan tahun depan iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding peruntukan tahun ini, mungkin RM10 juta dan jika lulus, ia boleh memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan lesen menerusi Program MyLesen B2 peringkat Pulau Pinang di sini hari ini, yang turut dihadiri, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Dalam majlis itu, seramai 293 pelajar sekolah dari 12 buah sekolah di daerah Barat Daya terdiri daripada kumpulan B40 menerima lesen memandu kelas B2 iaitu lesen motosikal.
Program MyLesen B2 bagi membantu golongan B40 mendapatkan lesen memandu Kelas B2 (motosikal) ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Belanjawan Madani 2023 yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Loke, peruntukan itu diperlukan bagi memastikan lebih ramai golongan B40 dapat memiliki lesen motosikal secara percuma.
”Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat berkenaan kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan belia.
”Usaha ini juga selaras dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, Program MyLesen B2 itu juga adalah usaha dan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membantu golongan B40 mempertingkat taraf sosio ekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig dan selainnya.
“Kerajaan juga berharap inisiatif ini dapat membantu golongan B40 yang menghadapi cabaran ekonomi untuk mendapatkan lesen memandu B2 dan melahirkan pemandu kenderaan bermotor yang kompeten serta selamat,” katanya.
UtusanOnline-