KOTA BHARU : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, Kerajaan Perpaduan tetap melaksanakan segala projek yang diumumkan, walaupun kalah di negeri yang berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan Perpaduan tidak akan bersikap zalim sebaliknya akan melakukan yang terbaik.
“Kita bukan kerajaan yang zalim, sebaliknya kita akan melakukan yang terbaik demi rakyat. Namun, tidak namanya bersyukur, sekiranya kita (rakyat) tidak berterima kasih kepada yang memberi.
“Jangan doa bahawa kita akan melakukan perkara negatif, sebaliknya perlu bersyukur kepada Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditanya sama ada Kerajaan Perpaduan akan meneruskan segala projek yang diumumkan termasuk di negeri tertentu sekiranya kalah pada PRN nanti.
Terdahulu, beliau Merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kawasan DUN Parlimen Kota Bharu.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Sementara itu ketika ditanya berhubung kenyataan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman, yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri cuba menormalisasikan rasuah susulan pengumuman peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata Syed Saddiq boleh bercakap apa sahaja.
“Dia boleh bercakap apa sahaja, yang penting para belia memerlukan peruntukan yang cukup,” katanya.
-Berita Harian