KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa perdana menteri itu memfitnahnya membabitkan isu pelupusan hutang peneroka FELDA.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan melalui firma guaman Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, Muhyiddin menuntut ganti rugi teladan dan teruk masing-masing sepadan dengan jumlah RM200 juta pampasan yang dituntut Anwar dalam jawapan kepada surat tuntutannya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Muhyiddin berkata Anwar memberikan ucapan yang memfitnahnya ketika sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023 di Serdang, Selangor (Sambutan Hari Peneroka FELDA) pada 7 Julai lalu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kenyataan itu disiarkan secara langsung melalui halaman Facebook dengan nama “Anwar Ibrahim.”
Katanya, beliau menjelaskan pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion sudah dilaksanakan pada 2021 melalui siaran Facebook pada 8 Julai lalu, bagaimanapun Anwar terus memfitnahnya dan menyatakan hutang masih tidak dilupuskan ketika berucap pada sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Julai lalu.
Menurut bekas perdana menteri itu, ia disiarkan secara langsung melalui YouTube Live di halaman YouTube Anwar pada hari sama.
“Pada 13 Julai lalu, apabila menyedari hutang peneroka sudah dilupuskan pada 2021, defendan (Anwar) memutarbelitkan kenyataan fitnah pertama dan kedua dengan menyatakan walaupun Majlis Jemaah Menteri meluluskan RM8.3 bilion, tiada peruntukan kewangan dan oleh itu terpaksa membuat peruntukan baru-baru ini.
“Jelas sekali, defendan kini mengakui bahawa pelupusan hutang sudah dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri, namun beliau tetap meneruskan dakwaan palsu dan jahat terhadap saya.
“Tanpa mengendahkan tuntutan peguam saya, Anwar berterusan menyebarkan fitnahnya dan pada 19 Julai lalu ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Selangor, defendan mengisytiharkan akan mengemukakan dokumen membuktikan beliau menandatangani pelupusan hutang itu.
“Akibat penerbitan fitnah itu, ia menjejaskan integriti, nama dan reputasi saya kerana orang ramai mempercayai bahawa kenyataan fitnah berkenaan adalah benar,” katanya.
Muhyiddin berkata, melalui kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 20 Julai lalu, Anwar mempamerkan dokumen ‘Assignment of Finance Service Reserve Account 1 (FSRA 1)’ bertarikh 26 Jun lalu yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan bersama-sama satu lagi dokumen ‘Kerajaan Malaysia – Arahan Pembayaran’ bertarikh 18 Julai lalu bagi jumlah RM990 juta.
Beliau berkata pada hari sama, Kementerian Kewangan turut mengeluarkan kenyataan media mengesahkan dokumen itu ditandatangani Anwar dan menyatakan ia mengenai Sukuk FELDA sebanyak RM9.9 bilion dan geran 10 tahun oleh kerajaan sebanyak RM990 juta setahun.
Katanya, jelas sekali, dokumen itu bukan dokumen pelupusan hutang peneroka yang dilaksanakan pada 2021.
“Sama ada defendan jahil atau dikelirukan atau beliau sengaja memanipulasikan Sukuk FELDA sebanyak RM9.9 bilion dan geran kerajaan sebanyak RM990 juta setahun dan mengelirukannya sebagai pelupusan hutang yang dilaksanakan saya pada tahun 2021,” katanya.
Muhyiddin seterusnya berkata, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, seorang yang tiada integriti dengan memungkiri dan mengkhianati janji dan tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri serta tidak melaksanakan pelupusan hutang sehingga menyebabkan beban hutang peneroka meningkat.
Selain ganti rugi, Muhyiddin turut menuntut perintah antaranya Anwar memadamkan video siaran langsung menerusi Facebook bertajuk Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 dan Temu Anwar Kedah @ UUM’ dengan serta-merta.
Beliau turut memohon satu injunksi untuk menghalang Anwar dan sekutu, serta ejen atau wakilnya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.
-Berita Harian