JOHOR BAHRU: Umat Islam di Malaysia dinasihatkan menjauhi laman sosial serta tidak mengikuti video menyebarkan ajaran sesat, SiHulk yang dipercayai dirakam dan dimuat naik ke dalam media sosial dari luar negara oleh pengikutnya.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid menjelaskan Fatwa Johor diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menetapkan SiHulk adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan akidah, syariat serta akhlak Islam.
Katanya, ajaran sesat diasaskan oleh Suhaini Muhammad yang dipercayai berada di New Zealand itu membuat pelbagai dakwaan menyeleweng, termasuk Allah adalah Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengikut SiHulk dipercayai membuat rakaman dan memuat naik video ajaran sesat itu ke dalam media sosial dari luar negara, sekali gus menyukarkan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) membuat tangkapan dan penguatkuasaan lanjut terhadap mereka.
Namun, Mohd Fared menegaskan sekiranya mereka pulang ke Johor, tangkapan boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada.
“Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.
“Pengasas dan pengikut ajaran sesat SiHulk sebenarnya pengecut… mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara.
“Hasil siasatan mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand. Apabila mereka berada di luar negara, ia di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh mengambil tindakan perundangan. Itu kesulitan yang perlu difahami,” katanya pada sidang media di pejabat beliau di Kompleks Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.
Begitupun, Mohd Fared berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dalam usaha membendung ajaran sesat itu.
Beliau berkata, antara langkah awal yang boleh dilakukan ialah menyekat penyebaran video oleh golongan berkenaan.
“Saya memohon supaya masyarakat tidak mengikuti video dan rakaman berunsur ajaran sesat ini. Jika ada terlihat rakaman pelik dan musykil, boleh maklumkan kepada JAINJ. Saya perasan setiap ‘profile picture’ dalam laman sosial pelaku video itu mempunyai ayat ‘ready to help’ berserta dua simbol hati. Mohon jauhi laman sosial seperti ini bagi menjaga akidah.
“Ajaran itu jelas telah menyimpang, sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam yang diamalkan di Johor. Apabila ajaran-ajarannya pelik dan tidak logik, adalah lebih baik dijauhi,” katanya.
Malah, beliau berkata, masyarakat juga diminta tidak menyokong aktiviti perniagaan dan kemasyarakatan ajaran sesat SiHulk, bagi melumpuhkan ajaran sesat itu.
“Status terkini kilang air SiHulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia ialah ia telah ditutup. Difahamkan, penutupan itu berlaku selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan, pada 3 Jun 2021.
“Oleh itu, jika produk terbabit masih berada dalam pasaran, pemilik premis diminta menghentikan jualannya kerana ia menyokong aktiviti ajaran sesat berkenaan,” katanya.
Semalam, tular dua video dalam Facebook memaparkan lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa membuat pengakuan ajaran sesat, selain dua individu membabitkan lelaki dan wanita mendakwa Allah adalah Nabi Muhammad.
BHonline-