Kesilapan memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin nombor dua Umno mengubah hala tuju negara, kata pemimpin DAP itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Serangan terbaru Dr Mahathir Mohamad mendorong Lim Kit Siang mengenang kembali pengakuan bekas presiden Umno dan perdana menteri Hussein Onn mengenai “kesilapan terbesarnya dalam hidup.”
Kesilapan penilaian ini yang mengubah hala tuju negara, menurut veteran DAP itu, telah meletakkan Dr Mahathir di landasan kekuasaan.
“Perdana menteri ketiga Hussein Onn memberitahu saya selepas bersara pada tahun 1980-an bahawa kesilapan terbesarnya dalam hidup ialah menaikkan Mahathir sebagai timbalan presiden Umno pada 1976,” katanya.
Lim berkata ini membolehkan Mahathir menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dari 1981-2003 dan 2018-2022.
Namun, perlu diingatkan Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua kerana sokongan PH.
Sementara itu, Lim berkata Hussein pada ketika itu “silap” memilih Mahathir berbanding Ghafar Baba, Tengku Razaleigh dan Ghazalie Shafie selepas tempoh ketidaktentuan selama enam minggu.
Lim membangkitkan hal ini apabila Mahathir mendakwa mempromosikan Malaysia yang majmuk melanggar Perlembagaan Persekutuan dan memomokkan DAP sebagai ‘ancaman’ terhadap negara, Melayu dan Islam.
Lim juga mengulas dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa DAP, dengan 40 ahli parlimen mempunyai pengaruh kuat ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.
“Mahathir tidak boleh lebih salah daripada ini lagi.”
“Adakah DAP, yang mempunyai 42 ahli parlimen selepas pilihan raya umum 2018 – lebih ramai ahli parlimen berbanding sekarang – mempunyai pengaruh ke atas Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan PH selama 22 bulan untuk menukar status Islam sebagai agama rasmi?
“Apabila Mahathir bercakap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2018 dan berjanji untuk meratifikasi perjanjian antarabangsa, termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), DAP tidak tahu-menahu mengenai cadangan ratifikasi Icerd walaupun DAP kemudiannya sasaran momokan dituduh menjadi anti-Melayu, anti-Islam dan antiraja,” tambahnya pada satu kenyataan.
Lim juga mengkritik Mahathir kerana seolah-olah jahil mengenai perlembagaan walaupun menjadi perdana menteri sebanyak dua kali selama hampir suku abad.
“Perkara 3(1) menyatakan: ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan’.
“Tiada peruntukan mana-mana agama rasmi dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi pemahaman dan toleransi orang bukan Islam di Malaysia terhadap Islam adalah sedemikian rupa.
“Rakyat Malaysia, sama ada penganut Buddha, Hindu, Kristian, Sikh atau Tao, tidak ada bantahan untuk Islam menjadi agama rasmi Malaysia. Begitu juga dengan DAP,” katanya lagi.
Lim berkata dia gagal memahami bagaimana Mahathir boleh membuat kesimpulan bahawa mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum itu bertentangan dengan perlembagaan.
“Adakah Mahathir mengatakan bahawa Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya itu melanggar perlembagaan?
“Tiga perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn (menyatakan negara ini sebagai) berbilang kaum.
“Lihat Perkara 43(2)(a) perlembagaan yang tidak menentukan identiti kaum siapa yang boleh menjadi perdana menteri tetapi menyatakan bahawa ia mestilah seorang yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen yang mesti diundi oleh pengundi kawasan masing-masing,” jelasnya.
Lim berkata walaupun tiada permusuhan antara kaum dan agama di Malaysia, ada pihak yang mahu mewujudkan perpecahan dengan pembohongan, kepalsuan, berita palsu dan ucapan kebencian dalam enam pilihan raya negeri yang akan datang.
“Menjadi tragedi berganda bagi personaliti seperti itu, termasuk seseorang yang pernah dua kali menjadi perdana menteri dan yang mencipta rekod dunia kehilangan depositnya dalam pilihan raya parlimen,” tambahnya.
Pada PRU15 lalu, Mahathir mengalami kekalahan teruk di Langkawi dan kerusi parlimen itu dirampas oleh pemimpin Bersatu (PN) Mohd Suhaimi Abdullah yang mendapat 13,518 undi.
-Malaysia Kini