BAYAN LEPAS – Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) perlu akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Presiden BN dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan di peringkat Majlis Presiden itu nanti adalah yang terakhir dan tidak boleh dirunding lagi.
Menurutnya, keputusan mengenai pembahagian kerusi itu akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Mengenai pembahagian kerusi bagi BN, kita sudah pun bertemu di peringkat Majlis Presiden, itu terpulang kepada keputusan yang akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi, kita akan dapat tahu. Majlis Presiden akan keluarkan kenyataan, dan itu lah keputusan dan jumlah kerusi yang akan dibahagikan, tiada lagi rundingan.
“Keputusan di peringkat Majlis Presiden itu adalah kata putus, saya harap semua pihak di peringkat negeri akur dengan keputusan tersebut. Kalau tidak (akur), tiada kesudahan, nanti susah.
“Apabila kita tidak akur, tidak memperakukan keputusan itu, akan ada perasaan tidak puas hati dan akhirnya kita tak dapat urus pilihan raya dengan baik. Yang penting kita nak menang,” katanya sebelum mengadakan pertemuan secara tertutup dengan pimpinan UMNO Pulau Pinang, di sini pada Isnin.
Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, persiapan BN untuk menghadapi PRN bagi keenam-enam negeri berjalan dengan baik.
“Persiapan nampaknya berjalan dengan baik kerana kita memang sudah tahu bahawa PRN mesti diadakan. Jadi di peringkat BN dan UMNO, jentera kerja bergerak sejak daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Memang jentera pilihan raya yang sama sentiasa bergerak.
“Kerana kita tahu kita perlu mengadakan PRN pula. Setakat ini saya puas hati dengan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera kita tetapi ada lagi yang boleh dipertingkatkan terutamanya apabila kita dah tahu di kawasan mana kita akan bertanding. Jadi kita akan beri penumpuan lebih tinggi di kawasan-kawasan itu,” katanya.
Kata beliau, gerak kerja jentera negeri akan dilancarkan tidak lama lagi dan akan turun sehingga ke akar umbi bagi memastikan kemenangan dalam PRN nanti.
“Memang di peringkat Pusat, kita ada kita punya jentera, dan di peringkat negeri telah diarahkan untuk mengadakan penyelarasan gerak kerja jentera PRN. Ia akan dilancarkan tidak lama lagi dan daripada situ, kita akan turun sampai ke bawah.
“Walaupun belum dilancarkan lagi, gerak kerja penyelarasan pilihan raya antara BN dan PH memang sudah ada dan dah mula,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai gelombang Perikatan Nasional (PN) yang disebut-sebut ketika ini, Mohamad berkata, BN bersedia untuk berhadapan dengan pihak lawan dalam PRN di keenam-enam negeri nanti.
“Saya tidak nampak apa-apa gelombang pun cuma kita perlu perkasakan diri sendiri. Kalau kita ada benteng yang kuat dan gerak kerja yang baik, itu tiada masalah.
“Gelombang tak sentiasa ada gelombang kan, akan ada surutnya. Jadi kalau kita perkasakan parti kita dan gerak kerja yang baik, gelombang macam mana pun kita akan dapat menahan dengan benteng dan menolak gelombang itu semula ke belakang,” katanya.
Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.
-Sinar Harian