ALOR SETAR: PKR dijangka bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, termasuk mempertahankan tujuh kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pada PRU14 lalu, PKR menang di kerusi DUN Suka Menanti melalui calonnya, Datuk Zamri Yusuf; Gurun (Datuk Johari Abdul); Bukit Selambau (R Summugam); Bakar Arang (Simon Ooi), Kulim (Yeo Keng Chuan) selain di Lunas dan Sidam.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Datuk Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Robert Ling bertindak meninggalkan parti itu ketika berlakunya perubahan kerajaan negeri pada Mei 2020 dan mereka kini menyertai BERSATU.
Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani pula meletak jawatannya sebagai ADUN Gurun pada 17 Disember lalu, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Selain tujuh kerusi terbabit, PKR dijangka mendapat tiga kerusi tambahan iaitu di kerusi DUN Kuah, Jitra dan Bukit Pinang dalam PRN pada 12 Ogos depan.
Ketika ini, kerusi DUN Jitra disandang Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Turut dikaitkan akan menjadi calon PKR pada PRN kali ini adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang dilihat kerap turun padang di Kedah dengan beliau dikatakan bakal bertanding di DUN Bukit Pinang.
BHonline-