GOMBAK : UMNO Selangor mengesahkan parti itu akan bertanding di lebih lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagaimanapun menjelaskan perincian berhubung jumlah tepat kerusi DUN yang akan diwakili parti itu bakal diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri antara lain menjelaskan perbincangan mengenai agihan kerusi di peringkat negeri sudah dimuktamadkan dengan senarai calon sudah dikemukakan kepada kepemimpinan parti, malam tadi.
“Saya bersama lima Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang terbabit dalam PRN sudah pun menyerahkan senarai pendek nama calon kepada Ahmad Zahid, malam tadi, dan Selangor paling akhir membuat pembentangan.
“Bagaimanapun, akan ada tapisan kedua yang akan dibuat Selasa depan, sebelum pengumuman senarai penuh calon dibuat pada 21 Julai ini.
“Pastinya senarai calon berdasarkan kerusi yang akan ditandingi ini dipersetujui dia pimpinan tertinggi iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi Anwar yang juga Perdana Menteri melawat gerai makan serta menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Khairiyah, dekat sini.
Mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN Gombak Setia, Megat Zulkarnain bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan, selain mengakui tidak menamakan diri sendiri sebagai calon pada PRN kali ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui terbuka untuk membuat penampilan pada PRN kali ini, sekiranya kepemimpinan parti menamakan beliau sebagai calon di mana-mana kerusi DUN dalam Parlimen Gombak.
“Pelbagai desas-desus kita dengar tetapi saya fikir ini adalah hak presiden untuk umumkan. Nasib saya sama ada bertanding atau tidak pun biarlah presiden yang tentukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BN Selangor bakal menampilkan calon daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia yang akan bertanding mewakili parti pada PRN kali ini.
“Gabungan calon yang ditampilkan kali ini mengambil kira pelbagai kriteria.
“Ada golongan profesional muda berusia 20-an, ada juga pimpinan lama dalam UMNO tetapi tak pernah bertanding sebelum ini, dan ada juga daripada wanita profesional yang akan diketengahan,” katanya.
-Berita Harian