Kuala Lumpur : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikecam pelbagai pihak kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam ceramahnya memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi warkah kepada baginda, kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak bermakna siasatan terhadap polis ke atas lebih 57 laporan terhadapnya dihentikan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi BH, berkata siasatan terhadap Menteri Besar Kedah itu tidak akan dihentikan, walaupun beliau sudah membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor.
“Siasatan kita tidak berhenti, masih diteruskan berdasarkan kelaziman prosedur (walaupun Muhammad Sanusi sudah minta maaf),” katanya.
Razarudin berkata, polis sudah menerima 57 laporan polis Muhammad Sanusi sehingga pagi semalam.
Katanya, kertas siasatan membabitkan tiga pemimpin parti politik yang menyentuh isu Raja, agama dan kaum (3R) iaitu Muhammad Sanusi; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.
Bukan satu pembelaan
Menyentuh isu sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata permohonan maaf bukan satu pembelaan dari segi undang-undang.
Menurut Azalina, tindakan yang bersalahan dengan undang-undang itu tidak akan selesai atas alasan memohon maaf.
Walaupun Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan bersuara kepada setiap warga Malaysia, namun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) Perlembagaan bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.
“Sesiapa yang membangkitkan isu membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam ciapan di laman Twitternya, semalam.
Azalina berkata, sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, mereka harus sedar pertuturan sedemikian boleh mempengaruhi orang ramai, terutama dalam musim pilihan raya.
Mengulas lanjut, Azalina juga mahu PDRM diberi kebebasan untuk menyiasat sesiapa sahaja yang membangkitkan isu 3R (Raja, kaum dan agama).
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menerusi catatan di Facebook pagi semalam menyatakan beliau sudah mengutus warkah kepada Sultan Selangor memohon ampun dan maaf atas kenyataannya sebelum ini.
Muhammad Sanusi juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman, jam 2 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tetap mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan kefahaman yang salah.
Teruskan proses perundangan
Sementara itu, penganalisis politik turut berpendapat proses perundangan perlu diteruskan sekali pun ada pihak mengemukakan permohonan maaf atas dakwaan terlanjur memainkan isu menyentuh 3R.
Mereka bersetuju sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak keterlaluan.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malay- sia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata sesiapa sahaja yang menjadikan 3R sebagai modal politik perlu diheret ke proses perundangan tanpa mengira jalur politik, agama dan kaum.
“Apatah lagi membabitkan sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu selaku salah satu payung besar dalam struktur pentadbiran negara.
“Setiap kali musim pilihan raya, isu ini dibangkitkan untuk bermain dengan sentimen dan emosi pengundi. Ini menunjukkan kita belum matang dalam politik bermoral dan berhemah,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan, menegaskan pihak yang terlanjur memainkan isu 3R tidak harus dibiar atau dilepaskan.
“Ini bukan kali pertama kecaman terhadap institusi diraja berlaku, cuma kali ini hangat kerana institusi diraja dikecam secara langsung pemimpin parti politik dan terkait rapat dengan isu 3R, menyebabkannya dipandang serius oleh kerajaan.
“Kecaman secara terang-terangan terhadap institusi beraja tidak patut dilakukan.
“Jika hanya memohon maaf boleh menyelesaikan masalah, ia akan memberi gambaran institusi beraja boleh dipermainkan dan diheret ke kancah politik,” katanya.
-Berita Harian