Kota Kinabalu : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 100 kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci dianggarkan bernilai RM3.36 juta di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Rampasan kira-kira 5 petang itu dilakukan pegawai dan anggota JKDM dari Cawangan Narkotik, Unit Operasi Penguatkuasaan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) Sabah.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, ia adalah rampasan terbesar di Sabah, dan dilakukan hasil maklumat risikan sebelum membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.
Katanya, kontena berkenaan mengandungi barangan campur dan hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena itu, pasukan serbuan menemui sembilan kotak disyaki mengandungi dadah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sembilan kotak itu menemui sejumlah dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 101.951 kilogram dianggarkan bernilai RM3,364,383,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di sini, hari ini.
Zazuli berkata, semua syabu yang ditemui dibungkus menggunakan pembungkus serbuk pencuci.
“Selain dadah, kotak berkenaan juga mengandungi serbuk pencuci dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.
“Tiada tangkapan dibuat, namun usaha mengesan pengirim atau penerima sedang dilakukan berdasarkan alamat yang tertera iaitu di sebuah kondominium di Likas,” katanya.
Zazuli berkata, modus operandi bagi kes ini adalah mengedarkan dadah menggunakan kontena dan memasukkan dalam bungkusan serbuk pencuci dan dagangan diikrar sebagai serbuk cucian.
“Seterusnya barangan akan dicampur dengan barang lain dalam kontena ‘Less than Container-Load’ (LCL),” katanya.
Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, beliau berkata, setakat 25 Julai 2023, JKDM Zon Sabah merampas sebanyak 122.91 kilogram dadah bernilai RM7.66 juta, tidak termasuk rampasan diumum hari ini
“Ia membabitkan 103.17 kilogram (kg) methamphetamine dianggarkan bernilai RM3,857,920.84; 10.09 kg ganja (RM54,226.90); serta 9.65 kg ketamin dan ekstasi (RM382,443.80).
“Turut dirampas 631.77 kg ketum dianggarkan bernilai RM6,289.31,” katanya.
-Harian Metro