PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan rampasan jam ‘pelangi’ jenama Swatch yang dikaitkan dengan simbol komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pada Mei lalu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN mempunyai punca kuasa yang jelas berhubung rampasan itu, malah ia dilakukan mengikut akta di bawah kawal selia unit penguatkuasaan dan kawalan kementerian ini.
“Malah, lebih penting ia (rampasan) dibuat berdasarkan aduan awam. Bagaimanapun, pihak syarikat mendapati ada isu pelanggaran dan mereka sudah pun membawa perkara itu ke mahkamah.
“Jadi biar kita selesaikan di situ (di mahkamah). Saya tidak mahu beri komen lebih daripada itu, namun ingin tegaskan rampasan itu dibuat mengikut undang-undang dan menggunakan punca kuasa yang jelas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, firma pembuat jam Swiss mengheret kerajaan ke mahkamah sivil berhubung serbuan dan rampasan ke atas jam Koleksi Pride tertera warna ‘pelangi’ yang didakwa melambangkan simbol komuniti LGBT.
Kumpulan Swatch (Malaysia) Sdn Bhd pada 24 Jun lalu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung rampasan jam tangan itu yang menyenaraikan Menteri Dalam Negeri (tidak dinamakan); ketua setiausaha kementerian, setiausaha bahagian penguatkuasaan kementerian; dan kerajaan sebagai responden.
Menurut salinan kertas kausa, pembuat jam Swiss itu memohon antara lain membatalkan notis rampasan yang dijalankan antara 13 hingga 15 Mei; memulangkan 172 jam tangan yang dirampas dalam tempoh lima hari dari tarikh perintah mahkamah, serta ganti rugi, termasuk yang bersifat teladan dan teruk.
Syarikat itu mendakwa majoriti jam tangan yang dirampas itu adalah daripada reka bentuk 2023 dan tidak tertera perkataan ‘LGBTQ+’ tetapi hanya dalam warna pelangi.
UtusanOnline-