SEREMBAN: Tindakan pantas Ketua Balai Polis Jalan Campbell di sini yang menarik seorang wanita yang disyaki cuba terjun daripada aras lima sebuah pusat beli belah pada Rabu lalu, membantu menyelamatkan nyawa wanita terbabit.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pada kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 20 tahun berkenaan dikatakan tidak berganjak daripada bahagian tepi bangunan walaupun sudah dipujuk anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata terdahulu pihaknya menerima aduan awam yang menyatakan ada individu disyaki cuba terjun daripada aras lima parkir kenderaan premis terbabit.
“Tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita berada di tebing parkir kenderaan dan memberitahu ingin terjun.
“Kami berusaha memujuk dan menenangkannya namun dia enggan berganjak,” katanya.
Akhirnya, Ketua Balai Polis Jalan Campbell Inspektor Adi Khusaini Saripudin bertindak pantas menarik wanita itu dan berjaya menyelamatkannya.
“Wanita itu tidak cedera dan selamat. Dia kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
“Hasil siasatan mendapati, punca kejadian akibat masalah kemurungan selain wanita itu juga didapati pesakit psikiatri,” katanya.
BHonline-