KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperuntukkan RM339,516,500 bagi tujuan pembangunan dan kebajikan pelajar yang melibatkan pembinaan serta penyelenggaraan asrama atau kolej kediaman bagi tahun 2023.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM261 juta adalah bagi tujuan membayar konsesi kerjasama awam swasta (PPP) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) pembinaan kolej kediaman yang sudah siap dibina.
“Misalnya RM19.8 juta untuk Politeknik Kota Bahru dan Jeli, Kelantan, RM6.7 juta untuk Politeknik Seberang Perai dan RM14.3 juta untuk Politeknik Ungku Omar.
“RM40 juta pula adalah bagi tujuan membina kolej kediaman baharu. Ini termasuklah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok dan Politeknik Tun Syed Nasor Pagoh yang secara keseluruhannya melibatkan kos RM180 juta,” katanya pada sesi penggulungan sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 di Parlimen, semalam.
Beliau berkata RM38.3 juta juga akan digunakan untuk menaik taraf kolej kediaman sedia ada di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Selain itu, katanya KPT turut bekerjasama dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) dalam memastikan ketersediaan penginapan pelajar di kolej-kolej kediaman di dalam kampus berada pada kapasiti yang optimum.
Katanya ia bagi menampung jumlah pelajar yang layak mendiami kolej yang semakin meningkat.
Mohamed Khaled berkata KPT juga komited untuk melihat kesesuaian cadangan penghapusan sistem merit dalam menentukan pemilihan pelajar yang layak tinggal di kolej kediaman.
Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 berlangsung selama dua hari bermula Rabu hingga semalam dianjurkan KPT dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sementara itu KPT dalam kenyataannya berkata hasrat utama penganjuran program ini adalah untuk membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa IPT menyuarakan dan membahaskan secara intelektual dan berhemah isu-isu merujuk kepada empat teras perbahasan iaitu ekonomi, kebajikan, pemerkasaan dan pembangunan mahasiswa serta pengantarabangsaan.
Usul-usul yang diutarakan semasa program ini akan diangkat sebagai agenda perbincangan Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka diadakan hujung tahun ini.
Program yang julung kali diadakan itu melibatkan 187 perwakilan MPPK, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa daripada pelbagai IPT di Malaysia merangkumi 20 Universiti Awam (UA), 13 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), 12 Politeknik, empat Kolej Komuniti dan empat Institusi Pendidikan Guru Malaysia.
-Awani Online