Johor Bahru : Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak bertanding pada kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang berkata keputusan untuk tidak meletakkan calon di dua kerusi itu dibuat dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
“Kita memutuskan PRK ini, Muda tidak akan mengambil bahagian dan meletakkan calon untuk dua kerusi ini.
“Mesyuarat itu dijalankan di peringkat negeri Johor dan keputusan diangkat biro politik bersama Presiden dan Naib Presiden, kami mencadangkan Muda tidak ambil bahagian dan pihak atasan parti bersetuju dengan cadangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Johor Bahru di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.
Jelas Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, keputusan itu diambil sebagai menghormati penyandang dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang disifatkan telah menjalankan amanah dengan baik.
“Sebenarnya dari awal lagi kita memang menghormati Allahyarham dan Allahyarham telah menjalankan kerja dengan baik.
“Atas dasar hormat itu, kita (sebelum Pilihan Raya Negeri) sudah ada bincang secara tidak rasmi untuk tidak masuk PRK ini,” katanya.
Bagaimanapun kata Amira Aisya, setakat ini parti itu belum memutuskan untuk kerjasama dengan mana-mana parti lain bagi PRK di negeri ini nanti.
“Apa yang akan Muda lakukan untuk PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram ini kita masih belum ada apa-apa perbincangan dengan mana-mana pihak. Sama ada kita terlibat atau tidak (dalam membantu kempen) kita belum putuskan lagi,” katanya.
-Harian Metro