KLANG : “Dia golongan yang dipelihara Allah SWT,” kata abang ipar Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 51 berkata beliau sekeluarga bersyukur apabila melihat jenazah mangsa dalam keadaan sempurna ketika proses pengecaman.
“Kita dapat dia sempurna, dari hujung rambut sampai ke kaki, lengkap (badannya). Rambut dia juga tidak terbakar, saya sendiri pegang. Dia golongan yang dipelihara oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Ar Rahimiah, hari ini.
Ketika ditanya bagaimana keadaan isteri mangsa, Adlina Aishah, beliau berkata adik perempuannya kelihatan okey walaupun baru sahaja melahirkan anak kurang dua bulan yang lalu.
Bagaimanapun katanya, anak-anak Allahyarham yang berusia 14 dan 10 tahun dilihat masih sukar menerima kehilangan ayah mereka.
Beliau berkata, Idris adalah seorang yang sangat mudah (berbincang), baik dan hanya bercakap perkara yang penting.
Adik iparnya adalah penguat kuasa di pejabat agama Islam Raub, Pahang dan bercuti tanpa gaji selama setahun kerana mengikuti EXCO Pahang yang juga ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.
“Bagi pihak adik ipar, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua pihak yang menguruskan jenazah Allahyarham.
“Jenazah akan kami bawa Masjid Tengku Sulaiman di Ketari, Bentong untuk disolatkan kali kedua kerana ramai waris menunggu di situ.
“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Benus, Bentong selepas itu,” katanya.
Dalam nahas kira-kira jam 2.50 petang itu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Elmina Shah Alam dua minit sebelum mendarat.
Selain Idris dan Johari, turut terkorban adalah Shahrul Kamal Roslan; Heikal Aras Abdul Azim; Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; Sharipuddin Shaari dan Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.
-Berita Harian