KUALA LUMPUR: Kehadiran ‘Oyen’, kucing yang tular ‘bersahabat’ baik dengan tikus gergasi capybara telah melonjakkan kedatangan pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Naib Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, berkata Oyen yang kini menjadi ‘Star of Zoo Negara’ mempunyai populariti luar biasa susulan keunikan persahabatannya dengan capybara sejak tiga tahun lalu.
“Setiap hari, 95 peratus daripada pengunjung yang datang hanya mahu melihat Oyen. Oyen sangat popular, sebab itu saya panggilnya The Star of Zoo Negara, malah kedatangan pengunjung juga meningkat dua kali ganda terutamanya pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemasangan papan tanda rasmi Oyen di hadapan kepungan tikus gergasi capybara di zoo berkenaan hari ini, sempena Hari Kucing Sedunia yang disambut pada 8 Ogos setiap tahun.
Rosly berkata, papan tanda baharu itu menggantikan papan tanda sebelum ini yang rosak akibat ditendang pengunjung tanpa sengaja.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk mencarikan pasangan buat Oyen supaya kucing itu mempunyai anak.
“Kami sedang berusaha untuk mencari pasangan yang sama jenis dan seusia dengan Oyen. Jadi, jika Oyen sudah tiada, akan ada anaknya nanti di sini untuk tatapan pengunjung,” katanya.
Rosly berkata, pihak zoo juga akan bertindak menjaga kebajikan kucing berkenaan termasuk memberi makanan bernutrisi selain memantau tahap kesihatannya.
“Berbanding dahulu, Oyen kini sudah jinak dan boleh didekati.
Tujuan kami mahu rapat dengan Oyen supaya jika satu hari nanti Oyen jatuh sakit, mudah untuk kami pegang dan merawatnya,” katanya.
Persahabatan dua haiwan berlainan spesies itu menjadi tarikan baharu Zoo Negara selepas video memaparkan Oyen yang juga kucing jalanan, tidur dan memeluk capybara tular menerusi media sosial.
Bernama-