SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menegaskan kerajaannya akan menumpukan bantuan sokongan terhadap insiden pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang terhempas di utara Australia ketika latihan ketenteraan hari ini.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Sky News Australia melaporkan sebuah helikopter v-22 Osprey dengan kira-kira 20 anggota marin AS di dalamnya terhempas di pantai Darwin. Australian Broadcasting Corporation (ABC) berkata seorang mangsa dalam keadaan kritikal, manakala dua stabil dan tiada laporan kematian.
Bercakap pada sidang media, Albanese bagaimanapun enggan memberikan butiran mengenai nahas atau usaha menyelamat, yang katanya berlaku di Pulau Melville di utara Darwin ketika Latihan Predator 2023.
“Fokus kami sebagai kerajaan dan Jabatan Pertahanan tertumpu kepada tindak balas insiden dan memastikan setiap sokongan dan bantuan diberikan pada masa sukar ini,” katanya.
Tentera Australia tidak terbabit, kata Albanese.
Polis Wilayah Utara bertindak balas terhadap nahas pesawat di Pulau Melville, kata bomba dan perkhidmatan kecemasan dalam satu kenyataan melalui e-mel.
Jabatan Pertahanan AS menyedari laporan media mengenai nahas itu tetapi tidak ada apa-apa boleh dikongsikan setakat ini, kata seorang pegawai bertugas dalam satu kenyataan melalui e-mel.
AS dan Australia, sekutu utama di Pasifik, telah meningkatkan kerjasama ketenteraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam menghadapi China yang semakin tegas.
Empat tentera Australia terbunuh bulan lalu ketika latihan dua hala apabila helikopter mereka terhempas ke lautan di luar pantai Queensland.
BHonline-