KUALA LUMPUR : Pemilik akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ yang disyaki memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor, ditahan, semalam.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan di Langkap, Perak.
Katanya, suspek dipercayai pemilik akaun ‘Iman Mustaqim’ itu ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor.
“Semalam, kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor melalui akaun Facebook, ‘Flat Earth Malaysia’.
“Suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, kedua-dua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 2 September ini.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya membabitkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R),” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan PDRM menjalankan siasatan terhadap pemilik laman sosial Facebook, ‘Iman Mustaqim’ yang disyaki menghina Sultan Selangor.
Ia selepas tular di media sosial tindakan satu pemilik akaun Facebook itu yang membuat hantaran berbaur fitnah apabila menuduh Sultan Selangor tidak menjaga agama Islam.
-Berita Harian