SEPANG: Satu kebakaran dilapor berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, mengakibatkan asap tebal memenuhi ruang balai pelepasan di terminal utama.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 8.30 pagi sebelum 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikejarkan ke lokasi.
“Setelah pemeriksaan dilakukan didapati kebakaran membabitkan sampah di dalam saluran sampah di tingkat tiga terminal berkenaan dan tidak membabitkan struktur bangunan atau mangsa.
“Bomba memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula yang terdapat di bangunan itu. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan jam 9.10 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.31 pagi,” katanya.
Sementara itu, Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) yang mengesahkan kejadian itu melalui hantaran di Facebook, memaklumkan kebakaran kecil berlaku di dalam bangunan terminal utama KLIA Terminal 1 dan segera dipadamkan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang serta JBPM.
Menurutnya, kejadian itu tidak menjejaskan perkhidmatan penerbangan dan operasi lapangan terbang.
Pengendali lapangan terbang itu memberitahu siasatan mengesahkan kejadian itu berpunca daripada puntung rokok.
“Malaysia Airports ingin mengingatkan orang ramai terdapat kawasan merokok yang dikhaskan di semua lapangan terbang kami. Sila gunakannya untuk kemudahan anda dan demi keselamatan komuniti lapangan terbang kami,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, ketika mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan insiden kebakaran itu tidak menjejaskan operasi di KLIA Terminal 1.
“Pihak bomba sedang menjalankan siasatan lanjut punca kebakaran itu dan sekiranya ada unsur khianat atau sabotaj, pihak polis akan siasat dengan lebih terperinci,” katanya.
Bernama-