MUAR: Penghantar barang dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuan mensabitkan kesalahan merogol kenalan bawah umur di sebuah hotel bajet di Sri Gading, Batu Pahat, tiga tahun lalu.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Dalam prosiding itu, Hakim Datuk Halijah Abbas memutuskan sabitan terhadap tertuduh, Muhammad Nur Hidayat Selliman, 30, adalah selamat dan hukuman dikenakan terhadapnya juga bertepatan dengan kesalahan dilakukan.
Penolakan rayuan itu juga mengambil kira tindakan tertuduh yang melarikan diri ketika kes sedang dibicarakan sebelum dia ditahan semula di Ipoh, Perak pada Januari tahun lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Batu Pahat menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara serta 10 sebatan di mana prosiding ketika itu dijalankan tanpa kehadiran tertuduh.
Dia didakwa di mahkamah atas satu pertuduhan merogol kenalan yang ketika itu berusia 13 tahun lapan bulan di sebuah hotel bajet pada April 2020.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin namun, dia melarikan diri sehingga mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Pada 21 Disember tahun lalu, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan merogol kenalan bawah umur. Tertuduh yang menjalani hukuman itu di Penjara Sungai Udang, Melaka kemudian memfailkan Rayuan di Mahkamah Tinggi pada Januari tahun ini.
Ketika prosiding rayuan dijalankan, pihak pendakwaan diketuai Nur Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Syafie Naim.
Dalam pada itu, Syafie berkata, pihaknya memfailkan rayuan untuk mengesahkan sama ada sabitan dikenakan Mahkamah Sesyen ke atas tertuduh ini adalah sah di sisi undang-undang atau sebaliknya selain hukumannya sama ada terlalu tinggi atau pun munasabah.
Namun, katanya, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa Mahkamah Sesyen telah pun menggunakan segala daya dan usaha serta mematuhi aturan mengikut Kanun Acara Jenayah.
“Sabitan dikenakan terhadap tertuduh adalah selamat, jadi hukuman dikenakan tidak terlalu tinggi, bertepatan dengan kesalahan tertuduh memandangkan mangsa ketika itu bawah umur,” katanya.
BHonline-