Shah Alam : Lebih 10 individu dirakam keterangan setakat ini termasuk individu yang memiliki rakaman video kejadian nahas pesawat terhempas di Elmina, di sini, 17 Ogos lalu.
(Ada rancangan nak melancong…atau ada kawan-kawan dan keluarga nak berbuat demikian…..cek ni kejap….klik sini)
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan buat masa ini masih dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
“Sehingga kini, lebih 10 individu dirakam keterangan termasuk pemilik video tular berkaitan nahas, wakil syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan beberapa individu lain.
“Kami masih menunggu laporan siasatan dijalankan oleh BSKU. Selepas itu baru kita akan meneliti langkah selanjutnya,” katanya pada Karnival dan Kayuhan Merdeka Polis Selangor (Merdeka Ride) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di perkarangan Stadium Shah Alam di sini, tadi.
Sebelum ini, polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, Hussein berkata pihaknya masih menunggu hasil laporan siasatan yang dijalankan BSKU.
Pada 17 Ogos lalu, nahas pesawat terhempas di Elmina di sini, mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.
-Harian Metro