SEGAMAT – Seorang mangsa yang terselamat dalam nahas enam sekeluarga terbunuh dalam kejadian kemalangan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, petang kelmarin, sudah membuka mata.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Abdullah Amir Ruddin, 15, yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Bukit Gambir menjalani operasi pembedahan akibat kecederaan parah pada kepala, petang semalam.
Namun pasukan perubatan Hospital Segamat membuat keputusan untuk menidurkan Abdullah hari ini kerana keadaannya masih lemah di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ibu saudara Abdullah yang juga merupakan kakak kepada ibu mangsa, Norhayati Noor Muhammad berkata, Abdullah masih menggunakan bantuan alat pernafasan selepas selesai menjalani pembedahan pada pukul 2.30 petang semalam.
“Tadi saya baru dapat tengok Abdullah. Dia ada buka mata sekejap tadi, tetapi doktor tidurkan balik sbb tak nak komplikasi pendarahan bertambah teruk.
“Dia masih menggunakan bantuan alat pernafasan. Doakan terbaik buat Abdullah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Ya mangsa masih di ICU. Pemandu treler yang berusia 33 tahun sudah sedar,” katanya.
Abdullah merupakan satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa ibu, Noorahimah Noor Muhamad, 43, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Dalam kejadian pada pukul 6.37 petang kelmarin, tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak di sini untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.
Namun setibanya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, akibat kemalangan membabitkan lima kenderaan itu menyebabkan enam sekeluarga terbunuh, dua cedera parah termasuk pemandu treler berkenaan.
Terdahulu, jenazah enam sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah Parit Limbong, Muar petang semalam.
-Kosmo Online