JOHOR BAHRU: Dua bekas pemimpin utama PAS dan BERSATU bersama lebih 200 ahli dua parti itu akan menyertai Parti AMANAH, kata Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Beliau berkata, majlis penyerahan sebahagian borang keahlian AMANAH oleh bekas Exco Kerajaan negeri Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama ahli-ahli mereka akan dilakukan di Sungai Abong, Muar, esok dan sebahagian lagi di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Perling, di sini, Ahad ini.
“Penyertaan bekas Exco dan bekas ADUN daripada BERSATU dan PAS itu adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan kepada perjuangan AMANAH yang membawa semangat RAHMAH seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Kami juga yakin bahawa kemasukan ini menunjukkan rakyat gembira dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, borang keahlian akan diserahkan kepada Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam dua majlis ceramah di kawasan itu.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan dua pemimpin yang dimaksudkan.
Bernama-