PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan seorang bekas pemandu bas menjalani hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan membunuh teman wanitanya di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, tujuh tahun lalu.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
M. Siva Sangker, 39, terlepas hukuman mati selepas mahkamah tertinggi negara menggunakan kuasa budi bicaranya dengan menggantikan hukuman gantung dengan tempoh pemenjaraan maksimum dan dikenakan sebatan minimum.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Mahkamah menggunakan kuasa budi bicara ekoran pemansuhan hukuman mati mandatori berkuat kuasa 4 Julai lalu yang membenarkan hakim membuat pilihan menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.
Hakim Mohamad Zabidin berkata, panel tersebut menolak rayuannya terhadap sabitan selepas berpendapat, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf ketika mengekalkan keputusan hakim bicara yang mendapatinya bersalah atas pertuduhan tersebut.
Panel itu berpuas hati, sabitan Mahkamah Tinggi selamat untuk dikekalkan manakala dapatan hakim bicara disahkan. Hukuman berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan pada 24 November 2016.
Siva Sangker yang ketika itu sudah berkahwin didapati bersalah membunuh V. Durga Devi, 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang pada 12.15 tengah hari, 21 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa yang juga pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, ditemui mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan kedua-dua belah tangan akibat ditetak di tepi jalan.
Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili perayu berhujah, kegagalan peguam terdahulu memfailkan notis alibi bagi menafikan kehadiran anak guamnya di tempat kejadian menyebabkan lelaki itu tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Rajpal berhujah, anak guamnya mendakwa berada di Masai, bukan di tempat kejadian pada hari tersebut.
Pada peringkat itu, Hakim Abu Bakar berkata, adalah tidak adil untuk menyalahkan peguam terdahulu ekoran tidak memfailkan notis alibi kerana peguam berkenaan pasti sudah menimbang pelbagai sudut ketika menemubual anak guamnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, meskipun Siva Sangker mendakwa dia berada di Masai pada hari kejadian, tiada kepastian bahawa lelaki itu berhasrat memfailkan notis alibi bagi menafikan kehadirannya di situ.
May Ling turut berhujah, seramai enam saksi mata ketika memberi keterangan menyatakan perayu yang menyerang mangsa.
Hujah pendakwaan, wanita itu mengalami 49 luka kecederaan akibat ditetak menggunakan parang tajam yang mana tiga daripada tetakan itu terkena tengkuk dan kepalanya yang membawa maut.
May Ling turut berhujah, selepas menetak mangsa, lelaki itu bertindak mengejar dan menyerangnya semula meskipun selepas wanita itu terbaring dalam keadaan tidak berupaya selepas ditetak di bahagian saraf tunjang.
“Pembunuhan kejam itu berlaku pada waktu tengah hari di hadapan orang ramai yang takut untuk campur tangan. Hukuman yang sesuai adalah hukuman mati,” ujar beliau.
Sementara itu, ketika mengemukakan hujah terhadap hukuman, Rajpal memohon mahkamah menggunakan kuasa budi bicara untuk mengetepikan hukuman gantung yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara di antara 30 dan 40 tahun.
Hujah peguam itu, Siva Sangker yang mempunyai lima orang anak tidak mempunyai rekod jenayah dan bukan pesalah habitual.
Ujarnya, perayu menyesal dengan kejadian yang berlaku dan telah memohon maaf kepada keluarga mangsa.
“Memang betul kehilangan nyawa telah berlaku dan perayu melakukan kesalahan serius, tapi dia bukan pembunuh bersiri yang membahayakan masyarakat. Saya mohon anak guam diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan,” hujah Rajpal.
Pada 4 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mendapati Siva Sangker bersalah membunuh wanita itu selepas menolak pembelaannya.
Hakim bicara berpuas hati, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mempunyai motif untuk membunuh mangsa kerana mereka kawan baik adalah penafian semata-mata dan bersifat suatu yang difikirkan kemudian.
Sabitan dan hukuman gantung kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Disember 2022.
UtusanOnline-