MELAKA: Pekerja sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh yang terkait dengan insiden sos cili paket dikenakan caj RM10.60, hadir memberi keterangan kepada polis, hari ini.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata remaja perempuan berusia 19 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, tengah hari tadi selepas dihubungi pegawai penyiasat.
Pekerja berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan susulan daripada laporan polis yang dibuatnya semalam di Balai Polis Ayer Keroh.
“Daripada laporan, remaja perempuan terbabit mendakwa dia dimarahi, ditengking dan dipaksa oleh seorang pelanggan lelaki untuk menjual 10 paket sos cili dalam kejadian antara jam 10 hingga 11 malam Jumaat.
“Bimbang akan keselamatan diri dia tampil membuat laporan kerana ketika kejadian pelanggan terbabit ada membuat rakaman video,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan selain pihaknya turut akan mengambil keterangan daripada pelanggan lelaki yang berusia 45 tahun itu.
“Siasatan awal mendapati terdapat pelbagai versi cerita membabitkan kejadian antaranya lelaki terbabit diminta untuk membayar sos tambahan walaupun terdapat pembelian makanan.
“Versi kedua pula pekerja mendakwa dipaksa untuk menjual sos cili paket walaupun sudah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan kerana diberikan secara percuma,” katanya.
Christopher berkata, semakan ‘Integrated Police Reporting System’ (IPRS) mendapati terdapat satu laporan berhubung kes itu oleh penguat kuasa KPDN Melaka.
“Ia susulan tindakan kompaun terhadap premis terbabit kerana tidak mempamerkan tanda harga.
Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook memuat naik resit pembelian sos cili paket berharga RM10.60 untuk 10 paket sos di sebuah restoran makanan terkemuka di Ayer Keroh susulan itu ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
BHonline-