KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kira-kira 70 peratus penjawat awam kerajaan Persekutuan di Terengganu tidak menyokong Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail, mendakwa punca utama penjawat awam tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disebabkan tiada program mendekati golongan itu, selain tiada kerjasama antara pengurusan jawatankuasa PKR termasuk Angkatan Muda dan Wanita..
“Semua pimpinan parti termasuk daripada PH dan BN perlu bertanggungjawab dengan kekalahan memalukan itu.
“Kegagalan memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRN lalu adalah kekalahan bersama dan bukannya BN, AMANAH serta Keadilan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Keadilan peringkat Cabang Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Pada PRN Ogos lalu, Azan yang dipertaruhkan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu tewas kepada calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Mengulas lanjut, Azan berkata, kerjasama dengan BN juga tidak berlaku dan kelewatan perbincangan pengagihan kerusi, selain perebutan kerusi juga antara punca kegagalan.
Beliau berkata, semua pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mendedahkan hasil bedah siasat punca kekalahan pada PRN lalu.
“Setakat ini, kita dimaklumkan semua parti Kerajaan Perpaduan belum melakukan bedah siasat untuk menentukan punca kekalahan.
“Kita tidak menolak punca utama menyebabkan bedah siasat punca kekalahan belum dilakukan kerana pimpinan parti masih berada dalam kekecewaan disebabkan gagal memenangi kerusi pada PRN lalu,” katanya.
BHonline-