Seremban : Dua wanita dijatuhi hukuman penjara selama setahun di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan memperdayakan lelaki bagi urusan mendapatkan anak angkat sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM8,000, Julai lalu.
[100 PRODUK HALAL TAIWAN BOLEH DIDAPATI DI 50 KEDAI 7-ELEVEN SELURUH NEGARA]
Tertuduh, G Gayathree, 32, dan Aliyah Begum Selvam, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan curangnya menipu lelaki, 37, dengan menawarkan urusan pengambilan anak angkat dan meminta mangsa membuat pembayaran tujuh kali transaksi sebanyak RM7,900 ke satu akaun seorang wanita.
Perbuatan itu dilakukan di rumah di Taman Ara Sendayan, di sini, 15 Julai lalu.
Oleh itu, kedua-dua tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
-Harian Metro